BANDAR KUALA KANGSAR – Komitmen dan kerjasama semua pihak merupakan antara faktor utama penyumbang kejayaan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017.
MCKK sekali lagi dinobatkan sebagai sekolah terbaik di Perak bagi tahun ini dan pengetuanya, Anand Baharuddin menganggap pengorbanan semua pihak terbalas dengan kejayaan bermakna itu.
Lebih membanggakan, kejayaan itu dikecapi pelajarnya yang mula dibentuk sejak mereka di Tingkatan Satu lagi dan bukan melalui pelajar yang berpindah ke sekolah itu pada Tingkatan Empat.
“Semua pelajar itu kita ambil dari Tingkatan Satu, maknanya mereka merupakan pelajar MCKK sepenuhnya, bukan yang berpindah dari sekolah lain dan kemudian cemerlang sekaligus meningkatkan pencapaian sekolah.
“Ini ‘batch’ pertama dan lebih memberi kepuasan kepada kami kerana pencapaian mereka meningkat berbanding tahun lepas. Jika tahun 2016 sebanyak 28.47 peratus pelajar mendapat semua A, tahun 2017 meningkat kepada 38.6 peratus.
“Kejayaan kali ini sekaligus menepis andaian mengatakan prestasi sekolah meningkat kerana dibantu pelajar-pelajar yang ditambah pada Tingkatan Empat,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, MCKK mempelbagaikan kaedah pembelajaran bagi memastikan pelajarnya tidak ketinggalan dan dapat menguasai subjek diajar dengan baik.
Sumber: Lawan sesawang Sinar Harian, 16/03/2018: http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/spm-mckk-terbaik-di-perak-1.809999
Penafian: Artikel ini adalah ulang siar daripada Sinar Harian dan hak cipta milik penulis asal. Pendapat dan pandangan dalam artikel ini tidak mewakili MCOBA. Sekiranya ada sebarang pertanyaan, sila hubungi Administrator ([email protected]).