KUALA KANGSAR 18 Mei – Pengalaman belajar di ‘Prep School’ Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) bukan sahaja memberi pengalaman menarik kepada bekas pelajarnya malah kenangan itu menjadi nostalgia yang sukar dilupakan.
Walaupun telah lama meninggalkan zaman persekolahan, tetapi memori indah sepanjang menghuni bangunan bersejarah yang dibina pada 1913 itu ternyata masih segar dalam ingatan.
Tidak hairanlah ulang tahun ke-100 ‘Prep School’ hari ini disambut meriah dengan kehadiran lebih 600 pelajar dan bekas pelajar maktab tersebut.
Presiden Persatuan Murid-Murid Tua MCKK (MCOBA), Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata, sebagai lokasi persinggahan pertama pelajar MCKK sebelum berpindah ke bangunan ‘Big School’, banyak kenangan istimewa tersimpan dalam bangunan ‘Prep School’.
”Sambutan ini adalah untuk mengisahkan sejarah 100 tahun ‘Prep School’ kepada generasi muda MCKK agar mereka dapat merasai semangat kolej mengalir dalam diri setiap pelajar yang pernah merasai kehidupan di sini.
”Selain itu, program ini juga bertujuan menyampaikan pengalaman kami bukan sahaja dalam bentuk penulisan tetapi dalam bentuk semangat dan buah fikiran,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.
Yang turut hadir memeriahkan majlis itu ialah Timbalan Pengerusi Lembaga Pengelola MCKK, Tun Hanif Omar; Presiden Kehormat MCOBA, Tunku Adnan Tunku Ahmad Burhanuddin dan Pengetua MCKK, Anand Baharuddin
Sementara itu, Megat Najmuddin memberitahu, pihaknya telah menghantar kertas cadangan kepada Jabatan Warisan Negara tahun lalu bagi membolehkan ‘Prep School’ diwartakan sebagai bangunan warisan.
Ini kerana katanya, bangunan itu dilihat mempunyai nilai sejarah tersendiri dan berharap kerajaan bersedia mempertimbangkannya demi memelihara nilai sejarah terutama berkaitan pendidikan awal di negara ini.
”Kita minta kerajaan mempertimbangkan peruntukan khas bagi kerja-kerja penyelenggaraan sekolah lama ini kerana warisan ini mampu menjadi nilai sejarah kepada negara,” ujarnya.
Terdahulu sempena majlis tersebut, bekas pelajar MCKK atau lebih dikenali sebagai Old Boys dibawa melawat bangunan dengan 40 pelajar lelaki berpakaian seragam sekolah lengkap dari tahun 40-an hingga 90-an berada dalam bilik asrama.
Mereka turut dibawa ke Auditorium Tun Abdul Razak bagi menonton persembahan yang menunjukkan perubahan bangunan dan gambar-gambar mengenai kehidupan di ‘Prep School’ sepanjang tempoh tersebut.
Tidak terkecuali, empat pelajar MCKK yang mewakili penghuni ‘Prep School’ semasa tahun 50-an hingga 80-an berkongsi pengalaman dengan pelajar-pelajar mengenai kehidupan mereka sepanjang berada di ‘Prep School’.
Sumber: UTUSAN Online, 19/05/2013 : http://ww1.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130519/dn_12/Sambutan-100-tahun-Prep-School
Penafian: Artikel ini adalah ulang siar daripada UTUSAN Online dan hak cipta milik penulis asal. Pendapat dan pandangan dalam artikel ini tidak mewakili MCOBA. Sekiranya ada sebarang pertanyaan, sila hubungi Administrator ([email protected]).