Kuala Lumpur: Kisah kegemilangan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dibukukan menerusi sebuah naskhah berjudul Buku Golden 66: Golden Jubilee, Class of 1966 The Malay College Kuala Kangsar (MCKK).
Pengerusi Lembaga Pengelola MCKK yang juga bekas Ketua Polis Negara Tun Mohammed Hanif Omar berkata, buku berkenaan adalah hasil penulisan bekas pelajar MCKK yang belajar sekitar 1962-1968 atau lebih dikenali sebagai Class of 1966.
Ia berkisarkan pengalaman semasa berada di sebuah institusi akademik yang penuh sejarah dan berjaya melahirkan ramai pemimpin kerajaan, tokoh korporat dan tenaga kerja am dalam pelbagai bidang.
“Bekas pelajar Class 66 mengambil inisiatif untuk menerbitkan buku ini sebagai satu usaha untuk merakamkan pengalaman hidup berasrama dari sebelum masuk hingga tamat tingkatan enam atas ketika menduduki peperiksaan Higher School Certificate (HSC) pada 1968.
“Pengalaman yang bukan hanya mementingkan bidang akademik tetapi menyeluruh, merangkumi pendewasaan dan pembentukan akhlak dan minda.
“Terdapat cetusan pengalaman tersendiri zaman pendidikan anak bangsa dari desa dan bandar dari seluruh pelosok negara, hidup bersama mengharungi kehidupan tinggal di asrama,” katanya yang merasmikan pelancaran buku berkenaan di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).
Katanya lagi, ia bertujuan supaya budaya institusi berkenaan dan juga cara pembentukan mereka yang melayari hidup di dalamnya dapat difahami dan dikenali umum dan dapat mendekatkan MCKK dengan rakyat.
Menurutnya, bukan itu saja, melalui naskhah itu dapat berkongsi pengetahuan dan pengalaman mengenai kehidupan sebenar penulis semasa berada di MCKK.
“Penerbitan buku ini bertujuan untuk mendokumentasikan pengetahuan tidak ketara mengenai MCKK yang jarang dapat diketahui khalayak dalam bentuk penulisan.
“Selain itu, buku ini juga diharap dapat dijadikan sebagai sumber inspirasi dan motivasi kepada generasi muda,” katanya.
Majlis pelancaran yang diadakan dengan anjuran bersama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), The Malay College Old Boys Association (MCOBA) termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut menyaksikan kehadiran Pengerusi SKMM Tan Sri Dr Halim Shafie.
Merancakkan lagi pelancaran yang dihadiri 150 tetamu itu, antaranya pameran sebilangan pemimpin yang dilahirkan oleh MCKK selain mempromosikan perkhidmatan u-Pustaka (perkhidmatan perpustakaan digital).
Sumber: Lawan sesawang Harian Metro, 21/01/2018 : https://www.hmetro.com.my/setempat/2018/01/305658/class-1966
Penafian: Artikel ini adalah ulang siar daripada Harian Metro dan hak cipta milik penulis asal. Pendapat dan pandangan dalam artikel ini tidak mewakili MCOBA. Sekiranya ada sebarang pertanyaan, sila hubungi Administrator ([email protected]).