KUALA LUMPUR 25 Jan. – Pusat Komuniti Penguasaan Bahasa Inggeris (MEECC) yang ditubuhkan Persatuan Pelajar Tua Maktab Melayu (MCOBA) mendapat maklum balas positif daripada ibu bapa dan guru yang melihat peningkatan ketara anak-anak mereka dalam penguasaan bahasa tersebut.
Presiden MCOBA, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata, pusat itu yang menawarkan program bahasa Inggeris secara percuma sejak Ogos tahun lalu turut berjaya melahirkan mentor bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.
“Mentor ini kemudiannya akan membantu rakan-rakan mereka yang tidak berpeluang mengikuti kursus bahasa Inggeris menguasai bahasa itu dengan baik di sekolah,” katanya dalam majlis pendaftaran dan hari terbuka MEECC Taman Medan, di sini hari ini.
Yang turut hadir, bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar yang juga alumni MCOBA termasuk ibu bapa dan murid.
Pusat tersebut kini mempunyai 119 pelajar dari tiga buah sekolah berhampiran iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Medan, SK Dato’ Harun 1 dan SK Dato’ Harun 2.
MEECC mempunyai tiga tenaga pengajar secara tetap menggunakan kaedah yang direka khas oleh The Big Education Group Sdn. Bhd. iaitu Big School English Programme.
Menurut Megat Najmuddin, penubuhan MEECC menelan kos sebanyak RM400,000 dan mampu menampung sehingga 400 murid.
“Kami memang merancang untuk memperluaskan konsep MEECC ini tetapi bergantung kepada dana yang ada. Buat masa ini, kami akan pastikan pusat ini berjaya dalam membantu kanak-kanak di Taman Medan menguasai bahasa Inggeris dengan baik,” ujarnya.
Sementara itu, Penolong Kanan (Pentadbiran) SK Taman Medan, Asiah Amir berkata, peranan yang dimainkan oleh MCOBA itu wajar menjadi contoh kepada individu dan organisasi lain dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat.
“Murid juga semakin menunjukkan perubahan dalam akademik mereka dan memberi impak yang mendalam bukan sahaja kepada bahasa Inggeris tetapi mata pelajaran lain,” katanya.
Bagi seorang bapa, Zainol Anuar Uyob, 51, dia berbangga melihat anaknya, Mohd. Syahmi Haziq, 11, semakin yakin berbahasa Inggeris walaupun baharu empat bulan mengikuti program di pusat itu.
Mohd. Syahmi yang muncul pelajar terbaik bagi program itu juga kini mendapat gred B bagi subjek bahasa Inggeris berbanding gred C sebelum mengikuti program tersebut.
“Tahun ini saya sasarkan untuk dapat A dalam bahasa Inggeris dan juga subjek-subjek lain,” katanya.
Sumber: Lawan sesawang Utusan Online,26/01/2014: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140126/dn_28/Program-bahasa-Inggeris-MCOBA-dapat-reaksi-positif-ibu-bapa
Penafian: Artikel ini adalah ulang siar daripada Utusan Online dan hak cipta milik penulis asal. Pendapat dan pandangan dalam artikel ini tidak mewakili MCOBA. Sekiranya ada sebarang pertanyaan, sila hubungi Administrator ([email protected]).