SHAH ALAM – Bekas Pelajar Kolej Melayu mengadakan satu forum bagi membincangkan hala tuju negara.
Presiden Persatuan Bekas Pelajar Kolej Melayu (MCOBA), Tunku Ahmad Burhanuddin Tunku Adnan berkata, forum yang bertajuk Hala Tuju Malaysia Pasca PRU 14 adalah inisiatif bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dengan kerjasama pihaknya.
“Idea penganjuran ini terbit daripada kesedaran bahawa isu dan persoalan yang melanda negara boleh diperbincangkan di kalangan bekas-bekas pelajar MCKK, walaupun mereka mempunyai fahaman politik yang berbeza.
“Oleh itu, beberapa orang bekas pelajar, yang sekarang ini merupakan pimpinan di dalam organisasi masing-masing, telah dijemput sebagai panelis forum iaitu ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad; Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (Harapan), Datuk Saifuddin Abdullah; Pengarah Strategi Pilihanraya Amanah, Dr Hatta Ramli dan ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad,” katanya kepada Sinar Harian dalam forum yang berlangsung di Dewan Kumpualan Media Karangkraf, malam tadi.
Dalam forum tersebut, beberapa ahli Parlimen, Adun dan tokoh korporat telah hadir untuk mengikuti isu-isu yang dikupas dan juga persoalan mengenai masa depan negara.
Mengulas lanjut, Tunku Ahmad Burhanuddin berkata, sebagai sebuah institusi pendidikan yang bersejarah di negara kita, MCKK telah melahirkan ramai pemimpin negara baik dalam bidang politik mahupun dalami bidang perniagaan.
“Sambutan forum itu amat menggalakkan bila mana pihak penganjur telah menerima banyak soalan secara atas talian seminggu sebelum forum diadakan dan ia datang daripada bekas pelajar daripada pelbagai peringkat umur.
“Forum ini sebenarnya boleh dilihat sebagai kesinambungan daripada siri perbincangan yang telah diadakan saban tahun. Cuma kali ini, ia berbentuk pelbagai parti (multi-party). Semua ini menunjukkan yang bekas pelajar MCKK prihatin dengan apa yang berlaku dalam negara kita dan berusaha untuk mencari satu wahana untuk membincangkannya agar Malaysia boleh terus bergerak ke hadapan,” katanya lagi.
Sumber: Sinar Harian, 15/03/2018 : http://www.sinarharian.com.my/nasional/bekas-pelajar-kolej-melayu-bincang-hala-tuju-negara-1.809531
Penafian: Artikel ini adalah ulang siar daripada Sinar Harian dan hak cipta milik penulis asal. Pendapat dan pandangan dalam artikel ini tidak mewakili MCOBA. Sekiranya ada sebarang pertanyaan, sila hubungi Administrator ([email protected]).
Ada lagikah program wacana seumpama ini pada masa akan datang yang ianya dibuka kepada orang awam dan tidak terhad hanya kepada Budak Koleq?