MENYUSURI sejarah lampau lebih satu abad Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) ibarat membaca sejarah Melayu lama dan sejarah Melayu moden – dari zaman sebelum perang sehinggalah negara mencapai kemerdekaan – banyak peristiwa penting yang dirakam sekolah elit Melayu pertama negara ini.
Sejarah sekolah ini cukup tebal sehingga tidak mudah untuk mencari satu kesimpulan bagi menggambarkan reputasi gah MCKK sebagai salah satu institusi pendidikan yang menjadi kebanggaan orang Melayu.
Semuanya bermula ketika Persidangan Raja-Raja (DURBAR) di Kuala Lumpur pada 1903 apabila Sultan Perak, Sultan Idris Murshidul Azam Shah I secara terbuka mengkritik dasar pelajaran British yang didakwanya “hanya menghasilkan petani dan nelayan Melayu yang lebih baik.”
Akibat daripada rasa tidak puas hati inilah, maka MCKK ditubuhkan dan dibina di tanah seluas kira-kira 12 hektar yang dihadiahkan Sultan Idris Murshidul Azam Shah I pada 2 Januari 1905 dan disokong Nazir Sekolah-Sekolah Negeri Melayu Bersekutu, R.J.Wilkinson.
William Hargreaves dilantik pengetua pertama dalam sistem sekolah berasrama penuh yang pertama di Semenanjung Tanah Melayu mengikut kaedah public school di England.
Walaupun pada mulanya segelintir pemimpin Inggeris ragu dengan inisiatif itu, bangunan rasmi Malay Residential School yang dinamakan Big School siap dibina pada 11 Disember 1909 dan sempena perasmiannya oleh Sultan Idris Murshidul Azam Shah I, namanya ditukar kepada MCKK.
Pada tahun 1941, MCKK ditutup akibat Perang Dunia Kedua. Di bawah pentadbiran Jepun, kolej itu bertukar menjadi sekolah Jepun tetapi gagal menarik minat penduduk tempatan.
MCKK merakam satu lagi sejarah penting pada tahun 1945 apabila ia bertukar menjadi hospital Jepun yang menyaksikan ratusan tentera negara matahari terbit itu cedera akibat perang sebelum meninggalkan Tanah Melayu tidak lama selepas itu.
Pada awal penubuhannya, kebanyakan pelajar terdiri daripada golongan atasan tetapi selepas tamatnya perang yang membakar semangat nasionalisme penduduk tempatan, British terpaksa melonggarkan kemasukan pelajar ke MCKK sehingga anak-anak Melayu tanpa mengira darjat dan status berpeluang belajar di MCKK.
Bermula lewat 1940-an, berlaku transisi yang cukup hebat dalam MCKK apabila ia mengalami perkembangan pesat sejajar dengan keadaan Tanah Melayu ketika itu yang pulih daripada pergolakan politik.
Bangunan-bangunan tambahan bagi kelas-kelas persediaan, makmal-makmal sains, blok pentadbiran, perpustakaan, dewan sekolah, dewan kuliah dan sebagainya didirikan untuk memberi kemudahan kepada pelajar.
Hakikatnya, sejarah MCKK banyak dirakam oleh Big School – bangunan bercirikan seni bina Greco-Roman yang pernah menyaksikan ramai pemerintah, pembesar, pemimpin dan tokoh korporat terkemuka negara membesar dan melalui kehidupan remaja mereka.
Antaranya termasuklah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah; Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Sultan Selangor ketujuh Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah dan anakandanya, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah iaitu Sultan Selangor kelapan.
Bekas pelajar MCKK yang lain termasuklah Pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar dan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.
Sekolah itu juga membariskan tenaga pengajar berwibawa. Nama-nama seperti ahli cendekiawan Melayu dan pejuang nasionalisme Zainal Abidin Ahmad (Za’ba), penulis British Anthony Burgess, ahli sejarah NJ Ryan dan Muzaffar Tate pernah menabur bakti mereka di MCKK.
Sehingga hari ini, Big School berfungsi sebagai asrama bagi pelajar tingkatan empat dan lima sekolah terbabit.
Tidak hairanlah, bangunan MCKK dipilih sebagai salah satu daripada 36 bangunan dan tapak di negara ini yang diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan.
Di hadapan bangunan itu, terdapat padang yang menjadi tumpuan pelajar bermain tiga sukan teras kepada sekolah berprestasi tinggi itu iaitu ragbi, bola sepak dan kriket.
Di bahagian timur bangunan bersejarah itu pula, terdapat sebatang pokok hutan hijau digelar Big Tree dan usianya lebih tua daripada Big School.
Dengan moto Fiat Sapientia Virtus, bahasa Latin yang bermaksud Kebijaksanaan Mutu Manusia, MCKK sebagai sebuah institusi pendidikan di Malaysia berjaya dalam peranannya memajukan bidang pelajaran khasnya untuk bumiputera.
Sumber: UTUSAN Online, 16/02/2013 : http://ww1.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20130216/lk_02/Seabad-merakam-sejarah
Penafian: Artikel ini adalah ulang siar daripada UTUSAN Online dan hak cipta milik penulis asal. Pendapat dan pandangan dalam artikel ini tidak mewakili MCOBA. Sekiranya ada sebarang pertanyaan, sila hubungi Administrator ([email protected]).