KOLEJ Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan perkembangan pendidikan moden di negara ini merupakan dua elemen yang tidak boleh dipisahkan.
Sejak penubuhannya lebih 80 tahun lalu, MCKK berjaya melahirkan tokoh-tokoh penting dalam pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, pendidikan serta kebudayaan.
Pameran seni tampak Dari Kuala Kangsar yang sedang berlangsung di Galeri RA, Kuala Lumpur hingga 15 Januari ini merupakan sebuah kenangan yang sukar dilupakan.
Ini kerana ia merupakan pameran lebih 100 karya oleh bekas-bekas penuntut dan guru MCKK dalam pelbagai genre termasuk catan, ukiran kayu, karya fotografi serta karangan penulis tersohor tanah air.
Antara pelukis yang mengambil bahagian ialah Dzulkifly Mohd. Zain, Azli Jamil, Datuk Mahsun Taib, Datuk Mustapha Mahmud serta karya-karya penerbitan oleh Allahyarham Zainal Abidin Ahmad (Pelita Bahasa Melayu) dan Prof. Dr. Muhammad Salleh (Aksara Usia).
Karya-karya sastera lain yang dipamerkan ialah Istana Berembun oleh Ishak Muhammad, A Malaysian Journey karya Rehman Rashid dan Seeing Malaysia My Way (M. Bakri Musa).
Selain itu, Dari Kuala Kangsar turut mempamerkan koleksi tali leher MCKK pada pelbagai zaman, keris dan beberapa barangan lain sejak 1993 hingga 1998.
Pada pameran tersebut, Dzulkifly misalnya cuba menghidangkan makna sebenar estetika buah-buahan tempatan. Ia bukan sahaja mempunyai daya tarikan rasa tetapi juga keindahan tersendiri.
Begitu juga Raja Shahruzzaman Sultan Idris Shah dalam Siri Air Terjun. Beliau cuba menyelami keindahan dan pada masa yang sama memprotes tentang air terjun di negara ini yang semakin tercemar.
Malah, ia mula hilang akibat pembangunan dan sikap tidak bertanggungjawab segelintir anggota masyarakat yang begitu rakus mengejar keuntungan.
Berbeza dengan Azli Jamil, kamera dan foto merupakan catatan visual tentang pelbagai isu. Hasil potretan dengan pendekatan tersendiri mencatat seribu makna.
Misalnya, wajah-wajah riang anakanak di Kemboja merupakan paparan tentang kedaifan dan dunia kemiskinan tetapi pada masa yang sama rakan-rakan sebaya mereka menikmati pelbagai kemewahan.
Sumber: Utusan Online, 03/01/2008 : http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sastera&pg=sa_02.htm
Penafian: Artikel ini adalah ulang siar daripada Utusan Online dan hak cipta milik penulis asal. Pendapat dan pandangan dalam artikel ini tidak semestinya mewakili MCOBA. Sekiranya ada sebarang pertanyaan, sila hubungi Administrator ([email protected]).